10 Disember 2014 - 03:59
Nuri Maliki dedah pengkhianatan Kurdistan terhadap penduduk Mosul

Pemerintah wilayah Kurdistan hasut tentera Iraq berundur untuk beri laluan mudah kepada ISIS tawan Mosul.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.ir) - Timbalan Presiden Iraq, Nuri Maliki dalam kenyataan terbarunya mendedahkan pihak kerajaan mempunyai bukti penting mengenai kerjasama militan Kurd dengan pengganas ISIS dalam rangka menjatuhkan wilayah Mosul ke tangan kumpulan militan tersebut.

Beliau yang sebelum ini menjawat jawatan Perdana Menteri Iraq berkata, "Bukti yang ada menunjukkan pemerintah wilayah Kurdistan meminta askar Iraq tidak memerangi ISIS dan berundur."

Tambah beliau lagi, "Mereka menerangkan ISIS menyerang kota tersebut untuk memerangi Syiah, kerana itu mereka meminta askar Iraq tidak bangkit menentang ISIS, setelah itu 3 batalion askar berundur dari kota itu tanpa sebarang penentangan."

"Kaum Kurdis menerangkan peperangan itu tidak ada kaitan dengan mereka, dan peperangan itu tidak memerlukan campur tangan mereka. Mereka mengundurkan unit militan yang di bawah kawalan mereka ketika menghadapi ISIS, inilah yang menyebabkan 35 hingga 40 peratus askar berdiam diri dalam menghadapi serangan ISIS ke atas Mosul," tegas beliau.

Dalam pada itu, akhbar Turki, Rasthaber pula melaporkan semua pihak telah mengambil langkah-langkah proaktif demi menghalang kemaraan militan ISIS, namun setakat ini belum ada sebarang rancangan untuk membebaskan kota Mosul.